WAWASAN DIRI ITU PENTING!
Setiap pelajar perlulah mempunyai wawasan hidup mereka supaya mereka mengetahui apa yang mereka ingin capai dalam hidup mereka. Dengan adanya wawasan diri yang diletakkan dalam
diri para pelajar, hal ini dapat memudahkan mereka untuk mencapai sesuatu
perkara atas wawasan yang mereka telah hasratkan.
Jadi, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian
kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala
cita-cita dalam hidup mereka. Misalnya, mereka yang cemerlang sentiasa
mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin
dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif
dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian.
Wawasan hidup merupakan ciri
dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka
sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui
hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka.
Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak
akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan
untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu
menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar
cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata
peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat
negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam
menempa kejayaan hidup.
Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa
pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.
Comments
Post a Comment